fb fb fb fb fb

Pelarasan tarif air, tambah baik mutu perkhidmatan bekalan air

Pengarah Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna SPAN, Ts. Mohd Fazil Ismail

KUALA LUMPUR, 18 Januari- Kadar tarif air domestik sedia ada tidak mencerminkan kos operasi yang terpaksa ditanggung oleh operator penyedia perkhidmatan bekalan air.

Pengarah Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Ts. Mohd Fazil Ismail menjelaskan, faktor itu antara pertimbangan yang diambil kira, berhubung keputusan melaksanakan pelarasan tarif air domestik, berkuat kuasa 1 Februari depan.

Beliau berkata dana mencukupi diperlukan, susulan caj kos purata semasa yang dikenakan kepada pengguna ketika ini agak rendah, dan tidak dapat menampung keperluan kerja-kerja penambahbaikan dan penaiktarafan fasiliti berkenaan.

"Jadi untuk mereka menjalankan kerja-kerja penambahbaikan, menaik taraf fasiliti, menambahbaik pili-pili yang pecah dan rosak, bagi mencapai jangkaan pengguna, sudah tentu mereka perlukan dana yang memadai untuk menjalankan kerja-kerja penambahbaikan.

"Sebab itu, setelah mengambil kira kesemua aspek dan mengambil kira jumlah dimana berapa lama tarif tidak disemak dan sebagainya, kita merasakan memang perlu ada pelarasan tarif air supaya perkhidmatan bekalan air dapat ditambah baik untuk masa kini dan masa hadapan", katanya kepada RTM selepas menjayakan program 'Tanya Terus' di Angkasapuri Kota Media.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Pengguna Kedah (CAKE), Mohamad Yusrizal Yusoff semalam, yang tidak bersetuju pelarasan tarif air dilaksanakan, namun mengakui bahawa penyampaian perkhidmatannya perlu ditambah baik.

ROSLINA BINTI DIN