KUALA LUMPUR, 5 Mei- Pelantikan ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) diharap dapat memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap usaha kerajaan mempertingkat integriti dan tadbir urus.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam sistem pentadbiran negara.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata JKMR berperanan penting dalam menasihati Perdana Menteri mengenai pelbagai aspek berkaitan isu rasuah serta meneliti Laporan Tahunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Selain itu, JKMR juga dikehendaki memeriksa ulasan oleh Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) tentang perjalanan oleh suruhanjaya ini akan fungsi di bawah Akta SPRM 2009 dan mendapatkan penjelasan mengenai Laporan Tahunan SPRM serta ulasan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR)", katanya menerusi hantaran di Facebook.
Datuk Seri Anwar menyampaikan surat cara pelantikan kepada tiga ahli baharu JKMR bagi tempoh pelantikan bermula 25 April 2025 hingga 25 April 2028 yang turut disaksikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
"Secara keseluruhan JKMR terdiri daripada tujuh ahli, tiga daripadanya masih dalam tempoh lantikan, manakala seorang lagi dilantik semula sebagai Pengerusi JKMR.
"Tiga individu baharu yang dilantik ialah Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr Awang Sariyan, Ahli Parlimen Langkawi Datuk Mohd Suhaimi Abdullah.
"Manakala ahli sedia ada (dari 15 September 2023 hingga 14 September 2026), Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah, Ahli Dewan Rakyat Parlimen Paya Besar (dilantik semula sebagai Pengerusi sehingga 25 April 2028), Mohd Shafizan Kepli (Ahli Dewan Rakyat Parlimen Batang Lupar), Young Syefura Othman (Ahli Dewan Rakyat Parlimen Bentong) dan Lo Su Fui (Ahli Dewan Rakyat Parlimen Tawau)", katanya.