fb fb fb fb fb

KIC jangka tarik RM170 bilion pelaburan dalam tempoh lima tahun

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar (tengah) merasmikan Kulim Intelligent Command Center (KICC) di Majlis Perbandaran Kulim, Kedah/FB KSN

KULIM, 16 November - Pembangunan pesat di Koridor Perindustrian Kulim (KIC) di Kedah dijangka menarik sehingga RM170 bilion pelaburan dalam tempoh lima tahun, sekali gus memberi limpahan ekonomi yang besar kepada rakyat negeri itu.
 
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata Kulim kini bergerak selangkah lebih maju apabila diiktiraf sebagai Smart City Early Adopter 2025 oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui pelaksanaan Pelan Tindakan Bandar Pintar Mampan Kulim 2035.
 
"Transformasi ini bukan sekadar infrastruktur, tetapi satu ikhtiar besar untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat, kecekapan perkhidmatan dan kesiapsiagaan masa depan," kata beliau dalam kenyataan menerusi laman facebooknya selepas merasmikan Kulim Intelligent Command Center (KICC) di Majlis Perbandaran Kulim, Kedah (MPKK) di sini.
 
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Seri Norizan Khazali dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim, Datuk Elmi Yusoff.
 
KICC merupakan sebuah pusat kawalan yang memantau operasi bandar secara masa sebenar atau real time, serta berhubung antara satu sistem dengan yang lain ke arah membina ekosistem Bandar Pintar.
 
Sementara itu, Datuk Elmi dalam kenyataan berkata kunjungan Tan Sri Shamsul Azri memberi peluang kepada pihaknya mempersembahkan kemajuan transformasi digital bandar Kulim.
 
Ini termasuk pembangunan Kulim Integrated Database System (KIDS) dan keupayaan operasi masa nyata KICC, yang kini berfungsi sebagai pusat kawalan pintar merangkumi keselamatan, utiliti, aduan awam, perancangan bandar, bencana, kebersihan dan pelbagai modul pintar lain.
 
MPKK mengetengahkan fungsi KICC yang menghimpunkan lebih 20 modul pintar dalam satu pusat kawalan masa nyata.
 
Keseluruhan ekosistem digital MPKK dibangunkan bagi menyokong tadbir urus berasaskan data, meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan memacu perancangan bandar yang lebih berimpak tinggi, selaras dengan matlamat Kulim Bandar Pintar 2035.
 
Beliau berkata MPKK komited menjadikan Kulim sebagai model bandar pintar yang memperkukuh integrasi data, meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan mendokong agenda nasional ke arah perbandaran moden dan berdaya saing.
 

 

SITI AISHA MELISA YUHANIZ