fb fb fb fb fb

RM850,000 pacu penyiapan dua projek Denai Sungai Kebangsaan di Pahang

Foto RTM

RAUB, 16 November - Dua Program Denai Sungai Kebangsaan (DSK) di Pahang, iaitu Denai Sungai Lipis di Raub dan Sungai Paya Pagar di Taman Awam Bera berjaya disiapkan tahun ini.

Ia menerusi peruntukan kerajaan sebanyak RM850,000 kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Menurut Timbalan Menteri PETRA, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, program dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pahang itu merupakan antara usaha memperkukuhkan pemeliharaan dan pemuliharaan sungai sejajar dengan teras kemampanan dan kesejahteraan Malaysia MADANI.
 
"Program DSK yang diperkenalkan sejak tahun 2020 itu bertujuan mewujudkan kepemilikan, menyemai tanggungjawab bersama dan juga meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk menjaga kebersihan dan keindahan sungai," katanya.
 
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Denai Sungai Lipis, Batu Malim, di sini hari ini, iaitu salah satu Program DSK di Pahang anjuran Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
 
Pelaksanaan denai tersebut bermula pada 16 April 2025 dan siap sepenuhnya pada 11 Jun 2025, melibatkan kerja menaik taraf denai sepanjang 450 meter.
 
Denai itu menyasarkan kehadiran sehingga 2,000 pengunjung sebulan bagi memelihara, memulihara dan memanfaatkan sumber alam secara lestari, bersesuaian dengan kedudukan strategiknya berhampiran pelbagai tarikan pelancongan alam semula jadi.

Antaranya seperti Pusat Konservasi Ungka di bahagian hulu Sungai Lipis, kawasan bunga Rafflesia, serta pelbagai lokasi inap desa, dan tapak perkhemahan yang turut menjadikannya destinasi tumpuan pelancong.
 
Turut berlangsung pada majlis sama, ialah sesi penyerahan Projek Rancangan Pemulihan Koridor Sungai Triang dan Sungai Semerting, Mukim Pelangai, Daerah Bentong, yang telah siap dilaksanakan JPS kepada Kerajaan Negeri Pahang.
 
Pengiktirafan Anugerah Khas Sumber Air (AKSA) juga disampaikan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Batu Malim atas usaha komuniti memelihara kemampanan sumber air dan sungai setempat.

EZA YUSMAWATI YAACOP