AIR ITAM, 16 November -Pulau Pinang komited memastikan setiap inisiatif yang dirangka buat komuniti India di negeri berkenaan dilaksanakan secara berkesan khususnya pembangunan modal insan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata sehingga kini, Lembaga Wakaf Hindu (HEB) Pulau Pinang telah menyalurkan biasiswa berjumlah RM4.92 juta kepada 3,755 pelajar.
Jelas beliau, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri dalam membentuk komuniti India supaya lebih berilmu dan berdaya saing.
"Ini bukan angka kecil. Sebaliknya ia melibatkan pelaburan besar kerajaan negeri dalam membentuk generasi muda masyarakat India di Pulau Pinang yang berilmu dan berdaya saing sekali gus memenuhi proses pembangunan modal Insan di negeri ini", katanya demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali Kerajaan Negeri Pulau Pinang di sini pada Sabtu.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib bersama Isteri, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah.
Tambah Kon Yeow, inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri membuktikan bahawa pendidikan dan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan, selaras dengan Visi Penang2030 yang menekankan kesejahteraan keluarga, penghargaan terhadap komuniti dan peluang kemajuan untuk setiap individu.