Kuala Lumpur, 5 Mei - Kementerian Pertahanan hari ini menyampaikan watikah pelantikan kepada 10 Ahli Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) bersempena dengan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin berkata, pelantikan tersebut telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 14 April lalu.
"Selari dengan peruntukan dalam Bahagian 3 Akta Latihan Khidmat Negara 2003, penubuhan majlis ini sebagai satu badan berperanan penting dalam menasihati Menteri segala perkara berkaitan Latihan Khidmat Negara," katanya.
Tambah beliau, ia merangkumi seorang Pengerusi, lima anggota mewakili kerajaan, tidak kurang tiga tapi tidak lebih lima anggota mewakili kaum-kaum lain di Malaysia, melibatkan individu-individu yang berlatarbelakangkan pengalaman dalam pelbagai bidang yang diyakini mampu memberi nilai tambah dalam PLKN 3.0.
MLKN akan dipengerusikan bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke-16, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal, manakala ahli mewakili kerajaan terdiri daripada lima Ketua Setiausaha Kementerian melibatkan Kementerian Pertahanan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Manakala lima lagi Ahli MLKN yang dilantik mewakili kaum pula ialah Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid; Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia, Soon Honn Keong; Profesor Sosiologi Politik USM, Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian dan Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Abang Shahminan Abang Sahari.