IPOH, 17 Januari - Sebanyak empat saman telah dikeluarkan polis Perak berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) sambutan Thaipusam yang bermula Ahad lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalatrash Wahid berkata saman dikeluarkan atas kesalahan tidak memakai pelitup muka dan membawa kanak-kanak di bawah 18 tahun.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan kepada orang ramai untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan khususnya menjelang sambutan hari perayaan.
"Prosedur operasi standard (SOP) ini jelas menyatakan hanya mereka yang berusia 18 tahun ke atas sahaja dibenarkan untuk turut serta dalam perayaan Thaipusam.
"Namun, ada juga yang masih berdegil membawa kanak-kanak untuk perayaan tersebut walaupun yang datang itu bukan untuk menyambut atau terlibat secara langsung dalam upacara sembahyang," kata Mior dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak di sini.
Mengulas lanjut, seramai 400 orang anggota ditempatkan di Sungai Siput bagi memantau sambutan Thaipusam tahun ini.