KUALA TERENGGANU, 17 Januari - Yayasan Bank Rakyat (YBR) memperuntukkan RM2.5 juta menerusi Program Bantuan Persekolahan (YBR) kepada 22,500 penerima dari seluruh negara bagi sesi persekolahan tahun 2022.
Sehingga kini, seramai 33,397 murid dan pelajar menerima manfaat program tersebut dengan jumlah peruntukan sebanyak RM5.12 juta.
Terengganu menjadi negeri pertama tahun ini menerima bantuan itu bersempena Program Kembali ke Sekolah YBR, melibatkan peruntukkan berjumlah RM15,000 kepada 150 murid sekolah rendah dan menengah di sekitar Kuala Terengganu.
Pengerusi YBR, Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin berkata bantuan tersebut merupakan inisiatif pihaknya bagi meringankan tanggungan ibu bapa terutamanya, golongan B40 membuat persiapan anak-anak kembali ke sekolah.
"Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, ramai daripada keluarga yang hilang punca pendapatan. Oleh sebab itu, saya sendiri telah meminta kepada ahli-ahli lembaga pengarah untuk memikirkan tentang penambahan, jika ada kita akan berbincang dan bawa dalam mesyuarat lembaga pada hujung bulan ini," kata Megat Zulkarnain selepas menyempurnakan majlis sesi penyerahan bantuan tersebut di Batu Burok, Kuala Terengganu, di sini petang tadi.
Bantuan tunai RM100 setiap seorang itu diagih dan dilaksanakan ke semua negeri sebelum bermula penggal pertama persekolahan 2022, pada bulan Mac nanti.
"Saya tidak menolak untuk menaikkan jumlah penerima bantuan berdasarkan permohonan yang semakin meningkat dari setiap negeri," tambahnya.
Murid dan pelajar yang menerima bantuan tunai RM100 itu diharap dapat menggunakan wang tersebut membeli set pakaian sekolah, kasut, stokin atau beg sekolah mengikut kesesuaian masing-masing.
Sejak ditubuhkan 2007 sehingga 1 Januari 2020, YBR sudah menaja lebih 4,840 pelajar dengan jumlah keseluruhan melebihi RM130 juta bagi meneruskan pengajian di institusi pengajian tinggi.