fb fb fb fb fb

13,000 ekor babi dijangkiti ASF sudah dihapuskan

PUTRAJAYA, 17 Januari - Sebanyak 13,000 ekor babi yang dijangkiti penyakit Demam Babi Afrika (ASF) telah dilupuskan sehingga semalam.

Ketua Pengarah Veterinar Datuk Dr. Norlizan Mohd. Noor berkata daripada 35 ladang babi yang ada di Paya Mengkuang, Melaka, 19 dikesan terjejas ASF dengan jumlah keseluruhan melibatkan 16,000 ekor babi.

Jelasnya proses melupus babi itu dijangka selesai sebelum akhir minggu ini dengan syarat tiada lagi ladang babi yang dikesan positif virus penyakit berkenaan.

"Kita dapat kerjasama baik daripada beberapa jabatan agensi di Melaka kerana mesyuarat tersebut ada melibatkan pihak NADMA. JKR Melaka, Pejabat Daerah, Masjid Tanah memberikan bantuan dan di bawah SUK Kerajaan Negeri Melaka dipengerusikan oleh SUK Kerajaan Melaka untuk proses pemusnahan babi dan banyak jabatan," kata Dr. Norlizan dalam sidang media Pelaksanaan Penguatkuasaan Aktiviti Melibatkan Haiwan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 di sini.

Jelasnya lagi proses pelupusan babi yang dilakukan tertakluk di bawah kod amalan kebajikan haiwan untuk pelupusan ternakan tanpa menzalimi haiwan tersebut.

Pada masa yang sama beliau memberitahu, jangkitan penyakit ASF itu tidak akan memberi kesan kepada bekalan sumber daging babi menjelang perayaan Tahun Baharu Cina bulan depan.

Tambahnya penyakit ASF itu tidak menjangkiti manusia dan hanya melibatkan haiwan berkenaan.

Media Baharu