fb fb fb fb fb

Pembubaran DUN Johor perlu dikaji secara teliti


JOHOR BAHRU, 17 Januari - Keperluan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor tidak boleh ditolak.

Namun perkara itu tidak boleh dibuat sesuka hati, sebaliknya perlu dikaji secara teliti, demikian ditegaskan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.

Kata beliau, justifikasi mengadakan pilihan raya lebih penting berbanding tarikh pengundian.

Pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada pilihan raya tertakluk kepada syarat-syarat Undang-Undang Tubuh Negeri.

"Saya tidak boleh sesuka hati mengisytiharkan atau menasihatkan Kebawah Duli Tuanku esok bubar, lusa atau tidak payah bubar atau sebagainya. Jadi untuk itu tiada pihak perlu bimbang. Saya akan berpegang kepada peraturan yang ditetapkan undang tubuh kerajaan negeri," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan AirAsia Super Apps (AirAsia Ride, AirAsia Food, AirAsia Grocer dan AirAsia Express) di sini.

Hasni yang juga Ketua Badan Perhubungan Umno Johor diminta mengulas mengenai beberapa kenyataan pembangkang yang meminta beliau menamatkan khabar angin mengenai PRU DUN Johor yang dikatakan mungkin diadakan selepas sambutan Tahun Baharu Cina.

Kerajaan negeri Johor pimpinan Barisan Nasional ketika ini mempunyai kelebihan hanya satu kerusi DUN.

Susulan kematian ADUN Kempas Datuk Osman Sapian pada 21 Disember lepas, BN memiliki 16 kerusi, Bersatu (11) dan PAS (satu), manakala di pihak pembangkang Pakatan Harapan mempunyai 27 kerusi.


Media Baharu