Pelancongan Malaysia kekal kukuh meski konflik di Asia Barat

Nigel Wong

KUALA LUMPUR, 17 Mac Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menegaskan industri pelancongan negara kekal berada pada landasan kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan global susulan konflik di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • MATTA akan bekerjasama rapat dengan Kementerian untuk memastikan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 berjalan lancar melalui pelan strategik komprehensif.
  • Malaysia kekal kompetitif kerana lokasi strategik, kos berpatutan dan infrastruktur moden; ASEAN kekal penyumbang utama ketibaan pelancong.
  • Ketibaan dari China dan India meningkat; promosi terus disasarkan pasaran jauh termasuk Eropah untuk menarik balik pelancong barat apabila keadaan stabil.

Presiden MATTA, Nigel Wong berkata, pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi memastikan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 terus berjalan lancar melalui pelan strategik yang komprehensif.

“Malaysia kini berada dalam kedudukan yang sangat baik dari segi geografi dan geopolitik. Secara asasnya, kita terletak di tengah-tengah Asia Tenggara.

“Dari segi kemampuan kos, walaupun mata wang kita semakin kukuh, Malaysia masih antara destinasi yang paling mampu milik di rantau ini.

“Pada masa sama, negara ini mampu menawarkan infrastruktur moden dan keselesaan yang dicari pelancong pada kadar yang berpatutan,” katanya dalam sidang media bersempena dengan Pameran MATTA di sini hari ini.

Usaha akan dipergiat bagi bekerjasama dengan negara jiran bagi mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026, memandangkan hubungan Malaysia dengan negara-negara ASEAN masih kukuh dan rantau ini kekal sebagai penyumbang terbesar ketibaan pelancong.

Beliau turut memaklumkan bahawa Malaysia turut mencatat pertumbuhan berterusan dalam ketibaan pelancong dari China, disokong rancangan peningkatan penerbangan terus bukan sahaja ke Kuala Lumpur, tetapi juga ke destinasi lain seperti Pulau Pinang dan negeri-negeri lain.

Sementara itu, pasaran India turut muncul sebagai pasaran berpotensi tinggi dengan peningkatan ketibaan pelancong serta tahap perbelanjaan yang memberangsangkan.

“Walaupun berdepan ketidaktentuan global ketika ini, termasuk konflik geopolitik, Malaysia akan terus memberi tumpuan kepada pasaran jarak jauh khususnya dari Eropah,” katanya lagi.

Kempen promosi serta misi jualan akan diteruskan untuk memastikan Malaysia kekal relevan dan berdaya saing, dengan matlamat menarik semula lebih ramai pelancong dari barat apabila keadaan kembali stabil.