(FOTO IHSAN JBPM JOHOR)
MERSING, 26 Jun- Seorang pelancong wanita warga Thailand maut dalam kemalangan jalan raya melibatkan tiga buah kenderaan di kilometer 14, Jalan Jemaluang, Mersing, Johor pukul 3:30 pagi tadi.
Kemalangan turut mencederakan 14 lagi individu termasuk suami mangsa yang juga warga Thailand.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata hasil siasatan mendapati sebuah kereta dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan berumur 32 tahun telah hilang kawalan sewaktu melalui selekoh lalu memasuki laluan bertentangan.
Kereta tersebut kemudiannya bertembung dengan dua buah kenderaan lain.
Seramai tujuh orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Mersing dikerahkan ke tempat kejadian.
Wanita tersebut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian muka, manakala seorang lelaki warga tempatan cedera patah tangan.
13 mangsa lain hanya mengalami cedera ringan dan kesemuanya telah dihantar ke Hospital Mersing bagi mendapatkan rawatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
(FOTO IHSAN JBPM JOHOR)