KUALA LUMPUR, 18 Januari – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil melancarkan Program Rintis Future Health for All (FH4A) yang akan dilaksanakan di 20 lokasi terpilih di enam negeri bermula hari ini.
Program anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) itu bertujuan memperluaskan perkhidmatan kesihatan melalui teknologi terkini dan penggunaan rangkaian 5G.
Menurut Fahmi, program tersebut akan memperkukuh sektor kesihatan dengan memanfaatkan potensi penuh jaringan 5G yang kini mencapai liputan penduduk melebihi 53.15 peratus dan liputan kawasan operasi penduduk (KOPA) sebanyak 82.4 peratus.
“Internet yang lebih baik dan lebih murah akan memberi manfaat besar kepada rakyat serta penyedia perkhidmatan kesihatan. Melalui pencapaian kesalinghubungan yang memberangsangkan, tumpuan kini diberikan kepada sektor kesihatan,” katanya pada Majlis Pelancaran Program Rintis FH4A di IWK Eco Park @ Pantai Dalam, di sini.
Beliau turut menegaskan pentingnya meningkatkan kesedaran literasi digital di kawasan pedalaman bagi memastikan seluruh masyarakat dapat memanfaatkan inisiatif yang disediakan oleh kerajaan.