fb fb fb fb fb

Inisiatif Kampung Digital Melaka dijangka siap dalam tempoh 6 bulan

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (dua, kanan) memberi penerangan mengenai kod QR Kampung Digital Melaka (KDM) kepada pemilik rumah Yap Seng Lai, 62,(kanan)/ BERNAMA

KUALA LINGGI, 18 Januari- Inisiatif Kampung Digital Melaka (KDM) dijangka lengkap dalam tempoh enam bulan bagi memudahkan pengesanan lokasi dengan transformasi alamat baharu lengkap berserta kod respon pantas QR.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menjelaskan secara keseluruhan ia melibatkan sebanyak 657 buah kampung di Melaka.

"Contoh, sekiranya berlaku kemalangan ataupun keperluan untuk mendapatkan perkhidmatan kecemasan hanya perlu telefon dan menghantar kod QR kepda pihak berkaitan seperti bomba, polis atau ambulans.

"Kalau dulu kalau kita telefon pusat kecemasan dia akan tanya rumah dekat mana, lokasi dekat mana. Menerusi kaedah ini bantuan akan sampai ke lokasi dengan tepat jadi itu faedah kampung digital kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menampal pelekat Kampung Digital di Kampung Guan bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi di sini.

Secara keseluruhan di Kampung Guan sebanyak 178 buah rumah telah lengkap mempunyai kod QR Kampung Digital.

Sementara itu kerajaan Melaka berjaya melaksanakan 40 pencapaian utama sepanjang dua minggu pelaksanaan siri pertama program WRUR.

Ab Rauf berkata, ia merangkumi semua aspek termasuk kebajikan, pendidikan selain program-program keagamaan.

Selain itu, beberapa pelaksanaan projek bagi menambah baik infrastruktur dan kemudahan awam untuk penduduk juga telah dikenal pasti.

"Jadi projek-projek ini dikumpulkan menjadi 40 seperti saya umumkan tadi bagi rakyat Kuala Linggi daripada kawasan DUN Kuala Linggi sebelah selatan dan sehingga utara akan dapat menerima projek-projek ini.

"Pembinaan jalan raya baru, pembinaan longkang baru, penambahbaikan sistem perparitan, sistem aliran pembekalan air daripada Syarikat Air Melaka (SAMB), lampu-lampu jalan kampung juga akan ditambah baik semasa siri program WRUR ini," katanya lagi.

Sepanjang pelaksanaan WRUR bermula 4 Januari lalu, sebanyak 150 aduan dan cadangan diterima dan cadangan berkenaan cuba diselesaikan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI