LANGKAWI, 18 Januari – Thailand dan Malaysia akan terus memperkukuh kerjasama dalam menangani penipuan dalam talian, termasuk aktiviti rentas sempadan yang semakin membimbangkan.
Menteri Luar Thailand, Maris Sangiampongsa berkata satu tindakan kukuh dijangka dilaksanakan menjelang akhir tahun ini hasil perbincangan dua hala antara kedua-dua negara.
"Kami telah berbincang dengan Menteri Luar Malaysia dan berkongsi visi untuk mencapai sesuatu pencapaian menjelang hujung tahun ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Bilateral Malaysia-Thailand di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) di sini, hari ini.
Tambah beliau, sekiranya keputusan bersama dicapai dalam masa terdekat, langkah tersebut mungkin dapat dilaksanakan lebih awal tanpa perlu menunggu sehingga akhir tahun.