LANGKAWI, 18 Januari- Penganjuran Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM Retreat) 2025 di Langkawi memberikan limpahan ekonomi kepada sektor pelancongan dan sekali gus meningkatkan peningkatan kemasukan pelancong ke pulau itu.
Penggiat industri, YM Dr Ku Azhar Ku Abdul Razak berkata peningkatan mendadak kemasukan pelancong diharap berterusan sepanjang Kepengerusian ASEAN berlangsung.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Hotel Goldsand Langkawi dan JMV Ferry & RoRo Langkawi berkata peningkatan pelancong sehingga 15,000 dicatatkan setiap hari berbanding 8,000 sehari.
Jumlah itu dijangka meningkat pada cuti hujung minggu, cuti persekolahan dan perayaan.
"Saya sebagai anak tempatan Langkawi amat bersyukur kerana kerajaan memilih Langkawi sebagai destinasi AMM Retreat 2025. Ini sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada pemain-pemain industri pelancongan yang dahulunya sengsara beberapa ketika akibat pandemik COVID-19," kata Dr. Ku Azhar kepada pemberita, hari ini.
"Ada dalam kalangan mereka pertama kali menjejakkan kaki di Langkawi. Maklum balas yang saya terima, rata-rata ada yang terkejut dengan pembangunan Langkawi yang sangat pesat. Ini membantu sektor pelancongan negara khususnya Langkawi, menyasarkan kemasukan pelancong-pelancong ke pulau ini," kata Mohd Azhari Yusoff, pengurus besar.
"Kami selaku penggiat dan juga anak jati Langkawi amat terharu dgn kedatangan delegasi asing secara tidak langsung menyumbang kepada lonjakan ekonomi penduduk tempatan. Kita menyediakan pelbagai produk makanan di restoran dan hotel, mengetengahkan produk tempatan untuk tetamu dari seluruh dunia," kata Pengerusi Kelab Komuniti Pelancongan Langkawi (KKPL), Hazani Husin.
"Saya masih baru di sini, pertama kali tiba di Langkawi selepas acara AMM Retreat 2025, hari ini. Saya suka dengan keindahan Langkawi dan sangat sesuai untuk pelancong baik dari luar negara atau dalam negara. Auranya sangat bagus untuk percutian keluarga. Kita sebagai negara ASEAN, perlu saling bantu dan bekerjasama dalam meningkat ekonomi dan pembangunan di rantau kita," kata Ahmad Khausar Nasutio, wakil delegasi Indonesia.
AMM Retreat 2025 berlangsung selama dua hari bermula hari ini sehingga esok.