KUALA LUMPUR, 9 September - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melancarkan Pelan Tindakan Kebangsaan pertama mengenai Wanita, Keamanan dan Keselamatan (NAP WPS) bagi memperkasakan kerangka dasar komprehensif pertama negara dalam agenda keamanan dan keselamatan wanita.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pelan itu membuktikan kesungguhan kerajaan untuk memastikan wanita bukan sahaja dilindungi, malah turut diberi keyakinan serta peluang menonjolkan kepimpinan mereka.
"Pelan Tindakan Nasional ini kita anjurkan supaya lebih ramai wanita dilindungi dan diberikan keyakinan. Kita mahu melihat wanita kita mempunyai peluang untuk menonjolkan diri. Sekarang ini semakin ramai wanita terlibat dalam agenda Wanita, Keamanan dan Keselamatan walaupun peranan itu telah lama bermula, namun kini ia semakin menonjol dari hari ke hari.
"Disebabkan itu, kita bekerjasama dengan beberapa kementerian dan agensi dalam negara bagi memastikan pelan ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran NAP WPS 2025-2030 yang diadakan serentak dengan pembukaan Sidang Kemuncak Wanita, Keamanan dan Keselamatan 2025 di ibu negara.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, yang mewakili komitmen kerajaan dalam memperkukuh agenda WPS di peringkat nasional dan serantau.
Pelan Tindakan Nasional WPS 2025–2030 menggariskan empat tonggak utama iaitu Perspektif, Pencegahan, Penyertaan dan Perlindungan, dengan tumpuan memperkukuh undang-undang, meningkatkan kepimpinan wanita, memperluas akses kepada keadilan serta memastikan keselamatan digital yang responsif gender.
Datuk Seri Nancy menegaskan, kejayaan pelan itu memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, masyarakat sivil, akademia dan komuniti setempat agar keamanan dan keselamatan benar-benar inklusif.