KUALA LUMPUR, 26 Mei- Pelan Tindakan ASEAN mengenai belia berfungsi sebagai kerangka strategik penting dalam menangani isu-isu besar serantau seperti kestabilan politik, pembangunan ekonomi, kelestarian dan perubahan iklim.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cabaran-cabaran itu perlu diberi perhatian kerana ia berpotensi memberi kesan langsung kepada masa depan generasi muda khususnya di negara-neagra anggota ASEAN.
Beliau turut menggesa golongan belia ASEAN supaya tampil berani menyuarakan pandangan, kekal berprinsip dan peka terhadap tuntutan zaman.
"Perkara paling utama bagi golongan belia ialah keupayaan menyuarakan pandangan dengan berkesan, menjadi cerminan suara masyarakat, serta peka terhadap kehendak dan isu-isu semasa," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama pembukaan Sesi Pemimpin ASEAN Ke-4 bersama Wakil Belia ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di ibu negara.
Para pemimpin ASEAN turut menyatakan penghargaan terhadap penglibatan aktif wakil-wakil belia dalam sesi bersemuka tersebut, sekali gus mengukuhkan komitmen rantau ini terhadap pemerkasaan golongan muda dan perpaduan serantau.
Kejayaan ASEAN adalah hasil komitmen para pemimpin blok tersebut; justeru, wakil belia perlu belajar dan bekerjasama rapat dengan pemimpin mereka.
"Amat mudah dan selesa untuk bekerja bersama mereka, berkomunikasi dengan mereka, serta belajar daripada mereka dan atas sebab inilah kita dapat membuat keputusan dengan cepat dan efisien," katanya lagi.
Sesi Pemimpin ASEAN Bersama Wakil Belia ASEAN diadakan sebagai sebahagian daripada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 yang sedang berlangsung.
Sesi berkenaan turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, serta timbalannya, Adam Adli Abdul Halim.