IPOH, 26 Mei - Tiga syarikat dari Belgium yang terlibat dalam industri maritim dijangka mengadakan lawatan ke tapak projek Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) pada bulan hadapan.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia susulan lawatan rasminya ke Eropah minggu lalu.
Tiga syarikat yang akan terlibat ialah Belgian Scrap Terminal (BST), Soenen Group Green Vessel Recycling, dan Steinberg Logistics International.
"Salah satu daripadanya adalah syarikat yang ada kemahiran dalam kerja-kerja memotong dan mengitar semula kapal-kapal lama. Syarikat yang satu lagi mempunyai kemahiran dalam pembinaan kapal baharu serta kerja-kerja baik pulih, manakala syarikat ketiga terlibat dalam bidang logistik yang menyokong keseluruhan ekosistem industri maritim," katanya dalam sidang media pada Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan siri ke 3 2025, di Ipoh.
Datuk Seri Saarani turut memaklumkan susulan lawatannya ke Perancis baru-baru ini, Kerajaan Perak telah menawarkan kepada syarikat Saint-Gobain supaya mengembangkan operasi perindustrian mereka di Taman Perindustrian Kanthan Chemor.
Tawaran itu sebahagian daripada inisiatif pembangunan Silver Valley Technology Park (SVTP).