fb fb fb fb fb

PDRM hargai peranan media, telus lapor berita

Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR 26 Mei- Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus menghargai sumbangan pengamal media atas kerjasama berterusan dalam menyampaikan maklumat tepat dan sahih kepada masyarakat sekali gus memperkukuh keselamatan serta keharmonian negara.

Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Razarudin Husain berkata, media massa menjadi entiti penting dalam menterjemahkan usaha pasukan itu memartabatkan keluhuran perlembagaan serta menguatkuasakan undang-undang secara adil kepada segenap lapisan masyarakat.

"Hubungan kerjasama yang utuh antara PDRM dan media berteraskan tanggungjawab bersama dalam menyampaikan informasi yang tepat dan telus demi menegakkan keadilan dalam apa jua keadaan.

"Media mempunyai 'kuasa unik' yang mampu mempengaruhi pemikiran serta memenangi hati masyarakat, menjadikan mereka rakan strategik dalam usaha memperkukuh keselamatan dan mengekang pengaruh negatif," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama sempena Majlis Apresiasi KPN bersama Media di Bukit Aman hari ini.

PDRM sentiasa mengiktiraf peranan media sebagai penyampai maklumat dan suara rakyat, malah turut melihat mereka sebagai 'pemerhati' yang mampu memberi pandangan serta cadangan penambahbaikan terhadap sistem penyampaian perkhidmatan agensi itu.

Seramai 30 pengamal media termasuk dua wartawan RTM, Nur Aimaduddin Audi Mohd Nor dan Muhammad Rastwin Setia turut menerima sijil penghargaan KPN bersama plak atas sumbangan dalam membantu pelaporan kejayaan-kejayaan PDRM.

2605 NSL IGP MEDIA 2Nur Aimaduddin Audi Mohd Nor menerima sijil penghargaan KPN bersama plak

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI