fb fb fb fb fb

Pelan Strategik Melaka Maju Jaya 2035 fokus bidang pendidikan

AYER KEROH, 27 Januari - Melaka komited meletakkan bidang pendidikan sebagai fokus utama kerajaan negeri selaras dengan agenda Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035.

Susulan itu, pelbagai program motivasi dan berkaitan dilaksana melalui pelbagai pihak bagi memberi semangat kepada pelajar khususnya yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang bermula 20 Februari depan.


(Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali)

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, untuk SPM 2022 ini Jabatan Pendidikan negeri meletakkan sasaran keputusan Gred Purata Negeri (GPN) sebanyak 4.81 berbanding 4.83 yang dicapai tahun lalu.

“Program ini juga selari dengan matlamat kita untuk menyuntik dan memberikan dorongan dan motivasi kepada bakal calon SPM 2022 di seluruh Melaka agar ia dapat melakukan yang terbaik seterusnya memperoleh keputusan yang cemerlang dan sekali gus ia akan menaikkan tahap pendidikan negeri Melaka di peringkat nasional nanti” katanya kepada pemberita selepas hadir pada Program Motivasi Dalam Talian ‘OnMotivation” calon SPM 2022 Melaka di Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah, Ayer Keroh.

Program anjuran Institut Tun Perak (ITP) itu disertai 73 buah sekolah menengah seluruh Melaka melibatkan lebih 11,000 calon SPM.

Ia merupakan program motivasi secara dalam talian yang melibatkan jumlah pelajar paling ramai dan dijangka akan diiktiraf oleh Malaysia Book Of Records (MBOR).

Media Baharu