fb fb fb fb fb

Pelan Rancangan Struktur Labuan 2040, dasar pembangunan fizikal

Dr. Zaliha Mustafa

LABUAN, 13 Januari- Pelan Rancangan Struktur Labuan 2040 langkah usaha kerajaan berkaitan perancangan fizikal, ekonomi, alam sekitar dan sosial di wilayah itu.
 
Perkara tersebut diterjemah menerusi program publisiti dan penyertaan awam bagi laporan pelan rancangan tersebut untuk menetapkan visi pembangunan Labuan serta memberi gambaran pembangunan fizikal pulau bebas cukai itu menjelang tahun 2040.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr. Zaliha Mustafa berkata, pelan itu merupakan laporan yang mempunyai pelbagai cadangan dasar pembangunan.

"Bagi saya, ini sangat penting kerana struktur atau pelan struktur ini perlu mendapat input juga daripada warga. Walaupun kita ada struktur yang kita telah sediakan dan mendapat input daripada agensi.

"Tetapi kita mahu melengkapkan lagi kerana ini akan melibatkan perancangan-perancangan yang bukan sahaja berbentuk fizikal termasuk ekonomi, alam sekitar dan sosial di Wilayah Persekutuan ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan sempena sambutan hari Wilayah Persekutuan peringkat Labuan, serta pelancaran Pelan Rancangan Struktur Labuan 2040 di Taman Damai Kg. Layang-Layangan di sini.

Sementara itu, Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan bertujuan meningkatkan kecintaan dan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat di Wilayah Persekutuan.

Dalam perkembangan lain isu bekalan air di Labuan menjadi keutamaanya untuk diselesaikan segera, bagi memastikan keselesaan rakyat di pulau itu terjamin.

Tiga projek penggantian paip sepanjang 70 kilometer di Labuan bernilai RM108 juta yang dilaksanakan secara berfasa dijangka selesai seawal Jun 2024 dan selewat-lewatnya suku pertama 2025.

"Saya juga telah meminta Bahagian Bekalan Air untuk meneliti keperluan jangka masa panjang. Bagi tempoh jangka pendek kita kena selesaikan masalah itu. Tetapi kita kena lihat ke depan sebab kita ingin bangunkan Labuan sebagai hab ekonomi, pelancongan dan pendidikan.

"Jadi dia perlu ada satu unjuran juga untuk masa depan. Saya minta supaya Bahagian Bekalan Air melihat perkara ini dengan lebih teliti dan mengutamakannya," katanya.

Zaliha berkata pihaknya akan berjumpa dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga merangkap Menteri Peralihan Tenaga Dan Daya Guna Awam Datuk Seri Fadillah Yusof untuk membincangkan isu bekalan air dan elektrik, bagi memastikan isu infrastruktur di Labuan dapat di selesaikan.

Kerajaan Persekutuan terus komited membantu untuk meningkatkan industri pelancongan di Labuan dengan merangka 92 program yang melibatkan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan. Pelaksanaan kesemua program itu akan memberi kesan yang cukup positif bagi Labuan, khususnya meningkatkan sosio ekonomi pulau bebas cukai ini dan masyarakat setempat.

"Jadi untuk merancakkan pelancongan saya minta perkara ini perlu diketuai Perbadanan Labuan bagi melihat potensi-potensi pelancongan di sini," katanya.

Usaha sedemikian turut melibatkan pemain-pemain industri pelancongan di pulau itu untuk menjayakan agenda yang dirangka serta memberikan input untuk menaikkan pelancongan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI