JOHOR BAHRU, 13 Januari- Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan melaksanakan pelbagai program mengimarahkan masjid dan semarak subuh pada tahun ini.
Timbalan Menterinya Dr Zulkifli Hasan berkata, inisiatif itu untuk menjadikan masjid sebagai nadi utama umat islam dengan pelbagai pengisian ilmu bermanfaat.
Zulkifli turut menyokong sebarang usaha mengimarahkan masjid seperti yang dilakukan selebriti Alif Satar dan Program Semarak Subuh yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri Johor.
"Kami lihat selepas adanya satu fenomena subuh itu, ia merupakan satu ruang untuk mengadakan pengisian-pengisian yang mantap, mungkin kita dapat mengubah dimensi masyarakat terhadap masjid itu sendiri," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada penduduk terjejas banjir di Sungai Tiram, di sini.
Terdahulu, Alif Satar menggerakkan kempen Geng Subuh Macam Jumaat untuk mengajak umat Islam mengimarahkan masjid sejak November lalu.
Manakala, Kerajaan Negeri Johor telah melancarkan Program Semarak Subuh di setiap masjid dan surau pada 5 Januari lalu.