fb fb fb fb fb

Penduduk terjejas banjir di Sungai Tiram terima bantuan

Foto hiasan

JOHOR BAHRU, 13 Januari- Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama-sama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) mengagihkan sumbangan barangan keperluan asas dan wang tunai bernilai RM50,000 kepada dua ratus penduduk terjejas banjir di Sungai Tiram, Johor Bahru.

Timbalan Menterinya, Dr Zulkifli Hasan berkata, sumbangan itu sebagai tambahan kepada bantuan yang disediakan kerajaan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

"Hari ini kami akan menyampaikan bantuan kepada 200 penduduk yang terkesan akibat banjir. Bantuan disampaikan oleh Yadim dan juga Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA). Alhamdulillah rakan strategik kami Etiqa Takaful juga bersama-sama memberikan sumbangan," katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada penduduk terjejas banjir di Sungai Tiram di sini.

Sementara itu, Pengarah Yadim Ustaz Muhammad Ammar Abdullah berkata, inisiatif diadakan itu bagi menyemarakkan aktiviti dakwah, sekali gus kebajikan dapat dilakukan dengan bertemu dengan penduduk terjejas banjir.

"Sememangnya setiap tahun kita sudah bersedia untuk misi banjir ini. Apabila banjir kita akan gerakkan sumbangan kebajikan kita sebagai salah satu usaha dakwah kita, walaupun sumbangan tersebut tidak banyak," katanya.

Situasi banjir di Ulu Tiram semakin pulih dengan menunjukkan paras air semakin surut sejak Selasa lalu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI