fb fb fb fb fb

Sewa motosikal kepada warga asing, lelaki tempatan ditahan

Zulkarnain Yasin

KUALA TERENGGANU, 13 Januari- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengesan kegiatan menyewa motosikal kepada warga asing di negeri itu menerusi Operasi Pemandu Warga Asing (Ops Pewa) yang dijalankan selama dua hari.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Terengganu Zulkarnain Yasin berkata ia susulan penahanan seorang lelaki rakyat tempatan yang didapati memiliki lebih 40 motosikal pada satu masa untuk menjalankan kegiatan tersebut.

"Kita juga sudah mengesan satu individu yang kita syak mungkin membuat sewaan motosikal. Semakan kita mendapati individu ini mempunyai 40 buah motosikal yang didaftarkan atas nama beliau.

"Jadi JPJ sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh berkenaan kegiatan atau sindiket yang beroperasi dalam memberi sewa kepada warga asing ini," katanya selepas Ops Pewa dijalankan di sini.

Mengulas lanjut beliau berkata, operasi itu melibatkan 70 anggota termasuk Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam tempoh operasi itu dijalankan sebanyak 567 buah kenderaan diperiksa dengan 79 daripadanya telah disita.

Sebanyak 284 saman dan 79 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan dalam operasi selama dua hari itu.

Seramai 138 warga asing turut dikenakan tindakan kerana tiada lesen memandu, tiada perlindungan insuran dan memandu bawah umur.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI