fb fb fb fb fb

UPSI, MASKUM santuni penduduk terjejas banjir di Kota Tinggi

Sukarelawan UPSI membersihkan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Pei Hwa di Kota Tinggi / Foto UPSI

JOHOR BAHRU, 13 Januari - Majlis Sukarelawan Universiti-universiti Malaysia (MASKUM) telah meggerakkan ResQ Team, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini bagi melaksanakan misi bantuan penduduk terjejas banjir di Kota tinggi, di sini.

Misi itu susulan peningkatan jumlah mangsa yang terjejas di kawasan tersebut.

Timbalan Naib Canselor ( Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI yang juga Pengerusi MASKUM, Profesor Dr Norkhalid Salimin berkata usaha itu diselaraskan bersama-sama Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Misi Bantuan Banjir MASKUM.

Beliau berkata, inisiatif itu dapat membangunkan insan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik bahkan intelek manusiawi yang membawa kepada penyelesaian permasalahan dan inovator kreatif kepada isu yang melibatkan masyarakat.

“Sumbangan kepada penduduk terjejas banjir di Kota Tinggi ini berupa makanan retort sebanyak 300 pek, bakul makanan dan keperluan asas sebanyak 300 pek daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi dan Universiti Awam seperti UPSI, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Pertanian Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

"Turut disumbangkan modul SPM EmpowerNCER Akademik sebanyak 20 set oleh UPSI bagi membantu pelajar SPM yang terjejas banjir di pusat pemindahan sementara (PPS)," katanya.

Misi bantuan banjir MASKUM itu disempurnakan Menteri Pertahanan merangkap Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Pusat Khidmat Rakyat Kota Tinggi, di sini.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berharap misi kemanusiaan itu akan membawa nilai tambah penting kepada pelajar.

Beliau berkata, hasil penyelidikan dan keilmuan yang dijana di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dipulangkan semula kepada masyarakat dalam bentuk yang memberi manfaat dan kebaikan bukan sahaja dinikmati oleh warga IPT malah turut dinikmati oleh komuniti selaras dengan konsep Malaysia MADANI.

"Ini selari dengan gagasan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir bahawa KPT bukan hanya bertanggungjawab membangunkan bakat dalam kalangan warganya, bahkan juga mempunyai tanggungjawab besar untuk memberdayakan komuniti dan industri melalui program pemindahan dan perkongsian ilmu atau Knowledge Sharing and Transfer Programme (KSTP)," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN