PUTRAJAYA, 8 Oktober - Pelan Pemulihan Rakan NADMA 2030 dijangka menjadi rujukan utama dalam pengurusan bencana di negara ini, khususnya dalam mengurangkan risiko dan impak bencana.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata pelan tersebut bertujuan menyelesaikan isu-isu berkaitan polisi dan garis panduan bagi membantu pihak berkepentingan menguruskan bencana dengan lebih berkesan.
“Hari ini kita melihat hasil kertas dasar yang disediakan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang mengkoordinasikan kerjasama antara badan bukan kerajaan (NGO) untuk melaksanakan pemulihan dalam pengurangan risiko bencana.
"Ini akan membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menguruskan bantuan kepada mangsa banjir dengan lebih teratur,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Rakan NADMA, di sini.
Pelan tersebut menggariskan tiga kumpulan kerja utama yang akan dijadikan panduan kepada pihak berkepentingan, bagi memastikan peranan mereka lebih relevan dan berkesan.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Pusat turut menegaskan, agensi-agensi berkaitan telah bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan banjir yang dijangka lebih awal berikutan Monsun Timur Laut (MTL) yang bakal bermula pada minggu keempat bulan ini.
“Kita telah bersiap siaga dan mobilisasi semua agensi penguatkuasaan serta NGO akan dilakukan secara berstruktur apabila tiba masanya, tanpa mengira lokasi bencana,” tambahnya.