Pelan MHIT asas diperkenal, premium serendah RM80 sebulan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 Januari – Kerajaan bakal memperkenalkan pelan insurans dan takaful perubatan (MHIT) asas, dengan kadar premium serendah RM80 hingga RM120 sebulan, sebagai langkah drastik menangani kenaikan kos sara hidup.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan memperkenalkan Pelan MHIT asas dengan premium serendah RM80 hingga RM120 sebulan.
  • Pelan dijangka dilancarkan awal 2027 selepas fasa rintis pada separuh kedua 2026.
  • Perlindungan tahunan sehingga RM100,000, meliputi 99% episod rawatan bagi kondisi perubatan umum.
  • Fokus utama ialah kemampuan milik dan kelestarian supaya premium mencukupi untuk menampung tuntutan.

Pelan ini dijangka mula berada di pasaran pada awal 2027 selepas pelaksanaan rintis pada separuh kedua 2026.

Menurut Kertas Putih Pelan Asas MHIT, ia menyediakan perlindungan tahunan sehingga RM100,000, cukup untuk menampung 99% episod rawatan bagi pelbagai kondisi perubatan umum.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, menjelaskan bahawa harga yang diumumkan adalah sebagai rujukan bagi percubaan pelan asas kesihatan.

Beliau menekankan prinsip utama di sebalik produk asas ini ialah kemampuan milik dan kelestariannya.

“Pertama, kita mahu memastikan bahawa pelan ini mampu milik. Oleh itu, harga premium ditetapkan supaya boleh dibayar oleh orang ramai.

Kedua, produk ini mesti lestari supaya ia dapat wujud untuk jangka masa panjang kerana premium yang dikutip mencukupi untuk menampung tuntutan,” katanya.

Beliau menambah bahawa kenaikan premium di masa hadapan dijangka tidak setinggi yang dilihat pada masa kini.

Faktor-faktor seperti konsep pelan asas, ciri-cirinya, dan harga premium bagi pembeli turut menjadi pertimbangan dalam menentukan produk ini.

Bagi individu berumur antara 31 hingga 35 tahun, julat premium ditetapkan antara RM80 hingga RM120 sebulan bagi pelan asas kesihatan ini.