fb fb fb fb fb

Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing libat lima sektor kritikal

(FOTO HIASAN/BERNAMA)

PUTRAJAYA, 17 Januari- Kementerian Sumber Manusia (KSM) bakal melaksanakan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, pelan tersebut bertujuan bagi menyegerakan proses permohonan serta kelulusan penggajian pekerja asing di sektor-sektor kritikal.

Katanya, ia melibatkan sektor perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan yang terhad hanya kepada restoran.

"Majikan boleh mengemukakan permohonan penggajian pekerja asing melalui platform Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) di bawah Modul FWe Approval, berkuat kuasa serta-merta.

"Kementerian Sumber Manusia akan memproses dan memberikan kelulusan permohonan penggajian pekerja asing ini dalam tempoh tiga hari bekerja daripada tarikh permohonan diterima," katanya.

Jelas Sivakumar, pengiklanan kekosongan jawatan di portal MyFutureJobs dikecualikan berkuat kuasa serta merta.

(Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar)

Tambah beliau, majikan yang telah membuat permohonan sebelum 17 januari 2023 dimohon untuk mengemukakan permohonan baharu di modul FWe Approval.

Ini bagi membolehkan permohonan majikan dipertimbangkan di bawah Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing ini.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Bahagian Pengurusan Pekerja Migran, Kementerian Sumber Manusia di talian 03-8885 2939/2940.

Media Baharu