fb fb fb fb fb

Pelaksanaan projek rintis BMTKM hadapi beberapa cabaran

KOTA BHARU, 28 Ogos- Projek rintis Program Basmi Miskin Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) fasa pertama Jun lalu berdepan beberapa cabaran sebelum pelaksanaanya lancar.

Antara cabaran yang telah dikenal pasti termasuk kesesuaian program untuk dilakukan oleh kumpulan sasar iaitu golongan miskin tegar bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, cabaran lain yang dihadapi adalah melibatkan status ketua isi rumah (KIR) miskin tegar yang dinamik, pemilihan aktiviti ekonomi yang kurang sesuai, model pelaksanaan projek yang kurang mampan serta penyertaan rakan strategik yang masih rendah.

Beliau berkata pelaksanaan projek rintis BMTKM bagi fasa pertama telah melibatkan 80 lokaliti rintis di seluruh negara dengan membabitkan kira-kira 2,500 KIR bermula Jun lepas.


(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed)

"Jadi hari ini kita bincang dengan kerajaan negeri, alhamdulillah kita telah dapat kaedah untuk selesaikan masalah beberapa isu yang di hadapi sebelum ini", katanya pada sidang media, di sini hari ini.

"Kita akan dapat selesaikan, kita akan pantau dari segi setiap bulan pendapatan sama ada meningkat atau tidak dan kesemuanya ini yang bantu kita ialah pihak ECERDC la dan ECERDC membantu di Kelantan, Terengganu, Pahang dan sebahagian daripada Johor.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Mustapa berkata, fasa kedua BMTKM dijangka bermula pertengahan September 2022 di 100 lokaliti lagi dengan pembabitan seramai 5,000 KIR miskin tegar, manakala fasa tiga pula akan dilancarkan Disember tahun ini.

“Berdasarkan Bank Data Kemiskinan Nasional (eKasih) sehingga 15 Ogos lalu, Kelantan telah merekodkan kadar kemiskinan tegar ketiga tertinggi di Malaysia iaitu seramai 15,455 KIR daripada sejumlah 134,853 KIR di seluruh negara", katanya.

Media Baharu