fb fb fb fb fb

Elaun Pembantu Pendidikan Masyarakat KEMAS naik kepada RM800 sebulan

(FOTO HIASAN)

SERDANG, 28 Ogos - Kerajaan bersetuju menaikkan kadar elaun Pembantu Pendidikan Masyarakat (PPM) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) kepada RM800 sebulan berbanding RM500 sebelum ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kenaikan elaun itu membabitkan seramai 9,439 PPM.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob)

"Kerajaan juga bersetuju menaikkan kadar bantuan sara hidup ahli Persatuan Bekas Anggota KEMAS (PBKAM) daripada RM300 kepada RM500," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Perhimpunan Perdana Sempena Sambutan 60 Tahun Jabatan Kemajuan Masyarakat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini.

Tambah Ismail, bagi program digitalisasi di 800 Tabika KEMAS seluruh negara pula, kerajaan turut bersetuju memberi peruntukan sebanyak RM8 juta.

Sementara itu, Datuk Seri Ismail Sabri berkata kerajaan turut bersetuju mengurangkan tempoh kelayakan pegawai kontrak perkhidmatan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) ke lantikan tetap kepada 10 tahun berbanding 15 tahun sebelum ini.

Katanya, kerajaan bersetuju untuk melonggarkan syarat pelantikan tetap tersebut.

"Berbagai syarat telah ditetapkan jadi kita perlu kurangkan, cadangan YB Menteri kurangkan syarat.

"Salah satu syaratnya dulu lantikan perkhidmatan pada atau sebelum 11 Oktober 2020 yang sebelum ini hanya diluluskan kepada pegawai lantikan kontrak sebelum atau pada 23 Oktober 2015, KPPA ini permohonan yang saya sokong jadi ambillah tindakan segera," katanya.

Media Baharu