fb fb fb fb fb

Pelaksanaan PoP fasa 2 di Sarawak telan kos RM1.08 bilion

Teo Nie Ching melihat dengan lebih dekat Projek Point of Presence Fasa 2 di Sekolah Kebangsaan Santubong/Foto BERNAMA

KUCHING, 18 Disember- Port jalur lebar gentian optik berkelajuan tinggi bawah projek Point Of Presence (PoP) bagi Fasa 2 di Zon Sarawak kini mencapai 10 peratus atau 69 PoP telah disiapkan daripada 681 projek berkenaan.

Projek berkenaan menjadikan Sarawak mendahului zon-zon lain.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, baki 90 peratus untuk Fasa 2 oleh Syarikat Borneo Restu Sendirian Berhad menelan kos RM1.08 billion dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun iaitu sebelum Oktober 2025.

"Memang sekarang zon Sarawak yang cepat termasuk Sabah belum mula lagi," katanya kepada pemberita semasa lawatan kerja ke Tapak Projek PoP di Sekolah Kebangsaan Santubong Kuching di sini.

Terdahulu dalam ucapannya, Teo memaklumkan sebanyak 20 PoP diperuntukkan bagi kawasan Parlimen Santubong.

Teo berkata kerajaan cakna berkenaan keperluan internet untuk semua rakyat dan berharap inisiatif itu menyediakan kebolehcapaian pendigitalan cekap dan berupaya menggalakkan pengembangan ekonomi setempat.

Di Sarawak sebanyak 60 PoP telah disiapkan bagi Fasa 1 dan mempunyai 2,862 langganan selain tujuh PoP turut disiapkan di kawasan-kawasan perindustrian di seluruh Sarawak.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI