KUALA LUMPUR, 1 Ogos- Tindakan kerajaan melaksanakan Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi adalah merupakan satu langkah yang wajar.
Kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) membangunkan langkah itu, bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Pensyarah Kanan Penyelaras Data Raya, Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Syaril Nizam Omar berkata langkah yang bermula 1 Januari 2025 itu, mampu mengawal atau mengekang tindakan yang mencetus kepada kebencian, provokasi, fitnah dan penghinaan kepada individu tertentu.
Jelasnya, usaha itu dapat menjaga imej negara yang terkenal kepelbagaian kaum serta penuh sopan santun dan bertatasusila.
"Saya lihat manfaat yang akan diperoleh oleh rakyat dan kerajaan melalui perlesenan media sosial ini, sama manfaatnya dengan yang kita perolehi apabila kerajaan menyediakan perkhidmatan yang selamat. Kita mahu satu suasana yang sihat dan selamat untuk kita hidup. Kita tidak mahu berada dalam ketakutan."
"Jadi, usahakan ini adalah baik untuk rakyat, baik untuk kerajaan juga dalam memastikan keharmonian, kesejahteraan rakyat itu terpelihara. Ini juga termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu kita tidak mahu berada dalam satu keadaan yang terancam," kata Dr. Syaril kepada pemberita RTM secara eksklusif, hari ini.
Tambah Dr. Syaril, ia wajar dijalankan berikutan beberapa negara lain di seluruh dunia turut membuat kawalan terhadap perkhidmatan media sosial, dalam mendepani cabaran semasa termasuk aspek demografi penduduknya.
Pada masa sama, ia turut memberikan impak terhadap pembangunan sosioekonomi rakyat termasuk politik.
Terdahulu, pada 27 Julai, MCMC dalam kenyataannya memaklumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta 588.
"Langkah itu akan berkuat kuasa 1 Januari 2025, susulan kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet diperkenal bermula 1 Ogos," kata kenyataan itu.