Pelaksanaan BUDI Diesel ringankan beban pengguna

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 2 JulaiPelaksanaan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) dilihat memberi kelegaan kepada pengguna, khususnya golongan yang bergantung kepada kenderaan diesel bagi urusan harian dan perniagaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Subsidi diesel membantu mengurangkan beban perbelanjaan bulanan dan membolehkan penyusunan semula kewangan keluarga.
  • Bantuan subsidi kurangkan kos operasi perniagaan, meringankan beban pengusaha yang bergantung kepada kenderaan diesel.
  • Pengesahan MyKad memastikan penyaluran subsidi lebih tepat kepada rakyat Malaysia yang layak.

Rata-rata pengguna menyifatkan penetapan kadar subsidi diesel terkini mampu membantu mengurangkan beban perbelanjaan bulanan.

Menurut seorang pengguna diesel, Hanz Faizal Abdullah, pelaksanaan subsidi berkenaan sedikit sebanyak membantu menguruskan semula perbelanjaan, susulan kos bahan api diesel yang kini lebih terkawal berbanding sebelum ini.

“Sebelum ini, kita terpaksa mengisi diesel dengan kos sehingga tiga kali ganda berbanding kadar terkini. Namun, dengan pelaksanaan harga diesel terkini bagi bulan ini, sedikit sebanyak ia dapat meringankan beban pengguna.

“Ini membolehkan kita menyusun semula perbelanjaan dan menyediakan peruntukan untuk keperluan lain. Sebagai contoh, jika sebelum ini perbelanjaan RM100 hanya mampu mendapatkan separuh daripada jumlah yang diperlukan, kini dengan kadar diesel terkini, jumlah yang diperoleh lebih banyak berbanding sebelumnya,” katanya.

Muhamad Asyraf Azhar pula berkata, bagi golongan yang menggunakan diesel bagi tujuan perniagaan, bantuan berkenaan dilihat mampu mengurangkan kos operasi mereka.

“Subsidi ini banyak memberi kesan kepada rakyat, khususnya kepada mereka yang menggunakan diesel untuk tujuan perniagaan.

“Kos pengangkutan yang sebelum ini agak tinggi sedikit sebanyak dapat dikurangkan dengan adanya bantuan subsidi ini,” katanya.

Mohamad Anif Azami pula berpendapat, subsidi berkenaan bukan sahaja membantu dari segi kewangan, malah turut meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan mengurus penggunaan bahan api seperti petrol dan diesel secara berhemat.

“Sejak adanya BUDI ini, ia sebenarnya memberi kesedaran kepada rakyat mengenai harga sebenar bahan api. Jika sebelum ini kita kurang mengetahui mengenai kadar harga sebenar serta jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan, melalui pelaksanaan BUDI, rakyat kini mendapat pendedahan mengenai perkara tersebut,”jelasnya.

Sementara itu, Mohamad Fidaiy Abd Wahab menyifatkan pelaksanaan subsidi diesel melalui pengesahan identiti menggunakan kad pengenalan sebagai langkah yang baik bagi memastikan bantuan berkenaan disalurkan kepada rakyat Malaysia.

“Saya sangat menyokong penggunaan kad pengenalan (IC) bagi pembelian RON95 yang telah dilaksanakan sebelum ini, dan kemudiannya diperluaskan kepada pelaksanaan BUDI Diesel.

“Pada pandangan saya, penggunaan IC merupakan satu langkah yang sangat baik bagi memastikan penyaluran subsidi diesel dan RON95 dapat diberikan khususnya kepada rakyat Malaysia yang benar-benar layak menerima manfaat tersebut,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan melalui BUDI Diesel, rakyat Malaysia yang layak boleh mendapatkan diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter melalui pengesahan MyKad di stesen minyak seluruh negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.