Pelaksanaan BUDI Diesel di Negeri Sembilan lancar

Foto RTM

SEREMBAN, 2 Julai – Pelaksanaan hari pertama subsidi diesel bersasar menerusi Sistem BUDI MADANI di Negeri Sembilan semalam menerima reaksi positif daripada pengguna yang layak serta pengendali stesen minyak di negeri ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Proses pembelian diesel bersubsidi berjalan lancar dan mudah, hanya memerlukan MyKad untuk pengesahan kelayakan di pam.
  • Pemandu lori dan pengguna pikap merasakan bantuan ini mengurangkan beban kos sara hidup dan perbelanjaan harian.
  • Sistem memberi impak positif kepada aliran tunai peniaga sendiri serta meringankan kos perjalanan logistik.
  • Kakitangan dan pengurusan stesen melaporkan pengesahan identiti pantas serta tiada gangguan teknikal, operasi berjalan teratur.

Tinjauan mendapati rata-rata pengguna menyifatkan proses pembelian diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter itu berjalan lancar dan mudah, memandangkan ia hanya memerlukan MyKad bagi tujuan pengesahan kelayakan di pam minyak.

Bagi pemandu lori, Muhamad Shahrul Nizam Alip, 41, inisiatif berkenaan amat membantu golongan yang bergantung kepada bahan api tersebut untuk tugasan harian dalam mengurangkan beban kos sara hidup.

“Alhamdulillah, memang sangat membantu. Kami yang menggunakan diesel setiap hari, proses isi minyak pun mudah hanya guna MyKad. Harap sistem ini dapat diteruskan bagi mengurangkan beban kos harian hidup,” katanya ketika ditemui di sini.

Nada sama turut dikongsikan seorang lagi pemandu lori, Mohd Hafiz Shariff, 41, yang berpandangan bahawa mekanisme baharu itu adalah satu bantuan yang baik untuk meringankan beban rakyat, khususnya bagi mereka yang kerap berulang-alik menggunakan kenderaan diesel.

Sementara itu, Mohd Razlan Mohd Alwi, 42, yang bekerja sendiri menyifatkan pelaksanaan subsidi bersasar berkenaan memberikan kesan langsung kepada aliran tunai perbelanjaannya.

“Saya sebagai pengguna pikap persendirian memang terasa penjimatan itu dan ia dapat mengurangkan perbelanjaan harian saya. Saya berharap sistem ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.

Pandangan tersebut turut disokong oleh Pasupathi Naharajan, 27, yang juga seorang pemandu lori, di mana beliau menyifatkan inisiatif berkenaan berjaya mencapai matlamatnya dalam mengurangkan kos perjalanan logistik.

Dalam pada itu, kelancaran sistem pada hari pertama pelaksanaan turut diakui oleh kakitangan dan pengurusan stesen minyak di sekitar negeri berkenaan.

Salah seorang pekerja stesen minyak yang ditemui, Muhamad Syazwan Zhafri Suhairi, 25, berkata proses pengesahan identiti pengguna yang pantas memastikan tiada kesesakan luar biasa berlaku di premisnya.

“Setakat hari pertama ini, operasi berjalan lancar di stesen minyak kami. Pengguna memberi kerjasama yang baik, malah proses pengesahan MyKad juga tidak mengambil masa yang lama, jadi urusan menjadi lebih lancar,” katanya.

Penolong Pengurus di salah sebuah Stesen Minyak, Noor Azwa Izzaniy Zakaria, 29, turut mengakui proses transaksi berjalan tanpa sebarang gangguan teknikal.

“Setakat hari ini, hari pertama pelaksanaan diesel ini, saya lihat proses pembelian diesel berjalan lancar.

“Pengguna yang layak hanya perlu membuat pengesahan menggunakan MyKad dan urusan pengisian dilakukan dengan cepat tanpa sebarang masalah,” katanya.

Secara keseluruhannya, fasa pertama transisi pelaksanaan Sistem BUDI MADANI di Negeri Sembilan dilaporkan berjalan dengan teratur tanpa sebarang masalah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.