KUALA LUMPUR, 27 Ogos - Meskipun masih pada awal pengajian, dua pelajar tahun kedua Kejuruteraan Bioperubatan Universiti Malaya (UM), Na Risu dan Wong Kai Shi, mencatat sejarah tersendiri apabila diberi peluang membentangkan hasil penyelidikan mereka dalam persidangan pakar-pakar rehabilitasi dari serata rantau Asia Pasifik dan Oceania.
UM dalam kenyataan kepada RTM, memaklumlan dua pelajar tersebut membentangkan hasil penyelidikan berkaitan Transcranial Magnetic Stimulation (TMS) bagi pesakit strok dalam Persidangan Asia-Oceanian Conference of Physical and Rehabilitation Medicine (AOCPRM) ke-9 di Pulau Pinang, baru-baru ini.
Kajian tersebut diketuai oleh Prof Madya Ir Dr Nur Azah Hamzaid dan dibiayai oleh Yayasan Penyelidikan Otak Minda dan Neurosains Malaysia (YPOMNM). Projek melibatkan kerjasama dengan pakar rehabilitasi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Dr Mazlina Mazlan dan Dr Chung Tze Yang.
Fokus kajian adalah untuk menilai tindak balas otot kaki pesakit strok terhadap rangsangan magnetik melalui kaedah mekanomiografi. Menerusi cara tersebut, pasukan penyelidik dapat memahami dengan lebih baik tahap pemulihan pergerakan dan potensi intervensi baharu bagi mengurus pesakit strok.
Menurut Dr Nur Azah, peluang tersebut adalah pendedahan terbaik untuk pelajar melihat bagaimana tugasan mereka dalam makmal boleh memberi kesan di dunia sebenar. Mereka juga berpeluang untuk berinteraksi dengan doktor dan penyelidik sebenar di peringkat antarabangsa.
TMS adalah teknik rawatan tanpa pembedahan, menggunakan medan magnet untuk merangsang bahagian tertentu otak. Dalam konteks strok, rawatan tersebut boleh membantu pesakit memulihkan semula fungsi motor, pertuturan, serta mengurangkan kemurungan pasca-strok.
Bagi Na Risu dan Wong Kai Shi, keberkesanan TMS yang ditunjukkan dalam kalangan pesakit PPUM bukan sahaja memberikan data bermakna, tetapi juga keyakinan bahawa teknologi tersebut berpotensi memperkukuh kaedah pemulihan konvensional sedia ada.
Selain aspek akademik, penyertaan pelajar memberi isyarat jelas tentang keupayaan generasi muda untuk terlibat dalam penyelidikan yang relevan kepada masyarakat. Sokongan dana YPOMNM juga amat sangat penting dalam membuka ruang kepada pelajar menyumbang secara langsung dalam kajian klinikal.
Pencapaian ini turut mencerminkan pendekatan UM yang memberi peluang awal kepada pelajar untuk merasai pengalaman sebenar dunia penyelidikan, selari dengan usaha universiti untuk melahirkan graduan yang berpengetahuan dan berani tampil di peringkat antarabangsa.