PUTRAJAYA, 27 Ogos - Cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiarkan secara langsung perbicaraan kes rasuah berprofil tinggi masih perlu diteliti dari segi peraturan undang-undang.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, kebenaran mahkamah perlu dipertimbangkan terlebih dahulu sebelum sebarang siaran langsung dapat dilakukan.
“Buat masa ini saya perlu semak dahulu dari sudut perundangan sama ada ia dibolehkan atau tidak. Lazimnya, prosiding perbicaraan akan direkodkan menerusi rakaman audio, dan itu memang sudah menjadi amalan.
“Namun, jika ada cadangan untuk siaran langsung, perkara ini perlu dibincangkan bersama Ketua Hakim Negara. Malah, jika ia memerlukan penyesuaian undang-undang, ia juga tertakluk kepada pertimbangan kerajaan", katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Perhimpunan Bulanan Bagi Bulan Ogos 2025 dan Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya.
Terdahulu, SPRM mencadangkan prosiding perbicaraan kes rasuah berprofil tinggi disiarkan secara langsung bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap proses kehakiman.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata langkah itu dicadangkan, susulan terdapat pihak yang memanipulasi fakta perbicaraan melalui media sosial sehingga menimbulkan pelbagai tohmahan tidak berasas.