PUTRAJAYA, 27 Ogos - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said merakamkan penghargaan terhadap pertimbangan kerajaan untuk menubuhkan Kementerian Undang-Undang khusus bagi memastikan ekosistem perundangan negara lebih tersusun dan bersepadu.
“Itu keputusan Perdana Menteri. Saya ucap terima kasih, tetapi beliau sendiri menyatakan akan menilai perkara ini, jadi biarlah keputusan tersebut dibuat oleh Perdana Menteri,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Undang-Undang ASEAN 2025 memaklumkan kerajaan sedang meneliti cadangan menubuhkan kementerian itu sebagai sebahagian usaha memperkukuh sistem perundangan negara.
Langkah tersebut bukan sahaja akan memastikan keselarasan ekosistem perundangan negara, malah membolehkan Malaysia berperanan lebih bermakna di peringkat ASEAN dalam memperjuangkan kedaulatan undang-undang.