fb fb fb fb fb

Malaysia tekankan ASEAN perlu bersatu pacu pekerjaan hijau dan ekonomi lestari

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berucap pada Forum Pekerjaan Hijau ASEAN (AGJF) 2025 di Le Meridien, Putrajaya. Foto- RTM

PUTRAJAYA, 27 Ogos - Malaysia menegaskan ASEAN perlu memanfaatkan sepenuhnya peluang ekonomi hijau untuk mewujudkan jutaan pekerjaan baharu sekali gus memastikan pembangunan serantau kekal mampan dan inklusif.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, berkata krisis ekologi dan ekonomi hanya dapat diselesaikan sekiranya semua pihak bekerjasama.

“Dalam keadaan ini, apakah yang harus kita lakukan? Saya cenderung kepada apa yang saya panggil sebagai model kerjasama ASEAN, iaitu keterangkuman dan konsensus berasaskan idea sentraliti ASEAN,” katanya ketika berucap pada Forum Pekerjaan Hijau ASEAN (AGJF) 2025 di Le Meridien, Putrajaya, hari ini.

Beliau menegaskan, model kerjasama ASEAN yang berasaskan konsensus dan keterangkuman terbukti berjaya melalui inisiatif seperti ASEAN Power Grid, taksonomi hijau serantau dan integrasi tenaga rentas sempadan yang berkembang pesat.

Menurutnya, pelaburan besar dalam ekonomi hijau bukan sahaja mampu menyelesaikan isu perubahan iklim, malah berpotensi mewujudkan ratusan ribu peluang pekerjaan baharu di rantau ini.

“Apabila rantau ini melabur dalam ekonomi hijau, kesannya amat besar. Dana akan disalurkan untuk menyelesaikan isu akibat perubahan iklim, mewujudkan berjuta-juta pekerjaan hijau, dan memberi impak kepada kehidupan masyarakat,” katanya lagi.

Beliau turut merujuk kepada kejayaan Malaysia melaksanakan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang telah menarik pelaburan awam dan swasta bernilai RM25 bilion serta berpotensi mewujudkan sehingga 300,000 pekerjaan dalam sektor ekonomi hijau menjelang 2030.

Selain itu, Steven Sim berkata ASEAN sedang giat memacu pelaksanaan ASEAN Framework and Action Plan for a Just and Inclusive Transition to Green Jobs 2025-2030 serta penubuhan ASEAN Green Jobs Regional Centre of Excellence bagi memperkukuh latihan, pelaburan dan penciptaan pekerjaan hijau serantau.

Beliau menutup ucapannya dengan menyeru negara-negara ASEAN mengekalkan kesatuan dalam menghadapi cabaran global.

“Apabila sebahagian dunia bergabung untuk bekerjasama, ASEAN mesti terus mengekalkan persahabatan lama yang mendalam. Apabila geopolitik tidak stabil dan sukar diramal, kita mesti mengekalkan fleksibiliti yang menjadi ciri budaya Asia, dan kita mesti komited untuk terus berdisiplin dalam membina masa depan yang lebih hijau,” katanya.

Forum AGJF 2025 itu menghimpunkan menteri-menteri buruh, wakil kerajaan asing, diplomat serta rakan strategik ASEAN termasuk Australia.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN