JOHOR BAHRU, 27 Ogos - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor menjalankan siasatan berhubung tindakan sebuah kereta bernombor pendaftaran Singapura mengisi petrol bersubsidi RON95 di sebuah stesen minyak di sini pada 19 Ogos lalu.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo, berkata siasatan dilakukan selepas kejadian itu tular di media sosial.
Menurut beliau, pasukan penguat kuasa KPDN telah dihantar ke lokasi kejadian bagi mendapatkan maklumat lanjut termasuk menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak terbabit.
Sebelum ini, tular sebuah video berdurasi 53 saat memaparkan seorang pemilik kenderaan dari Singapura sedang mengisi petrol RON95. Tindakan itu kemudiannya ditegur seorang lelaki tempatan yang turut berada di stesen minyak berkenaan.
KPDN menegaskan, penggunaan petrol RON95 hanya dikhaskan untuk warganegara Malaysia dan tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan tersebut.