fb fb fb fb fb

Pelajar SPM Labuan raih 11A+

Antara pelajar SMK Labuan yang memperoleh keputusan SPM cemerlang/Foto RTM

LABUAN, 24 APRIL – Moses Yii Xi Hong, 17, dari SMK Labuan muncul pelajar paling cemerlang di Labuan selepas berjaya memperoleh 11A+ dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang diumumkan hari ini.

Pelajar itu merupakan salah seorang daripada 1,133 calon di kepulauan itu yang layak menerima sijil SPM 2024.

Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Labuan, Yahya Ahmad Puteh, berkata jumlah calon yang layak menerima sijil SPM 2024 di Labuan meningkat kepada 1,133 orang, berbanding 1,041 calon pada 2023.

Beliau yang juga merangkap Pemangku Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan berkata ini sekali gus mencatat peningkatan sebanyak 72 calon berbanding 1,041 calon pada tahun sebelumnya.

Katanya, peningkatan ini turut dipengaruhi syarat kelayakan lulus dua mata pelajaran teras, Bahasa Melayu dan Sejarah.

“Kita bukan sahaja memberi fokus kepada pencapaian akademik, tetapi juga memberi perhatian kepada kehadiran murid ke sekolah.

"Gabungan kedua-dua aspek ini membantu kita menikmati hasil yang positif, apabila berjaya mengurangkan bilangan murid yang gagal dalam semua mata pelajaran,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman keputusan peperiksaan di Jabatan Pendidikan Labuan.

Sementara itu, Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) di Labuan mencatat 100 peratus kelayakan menerima sijil.

Antara yang membanggakan ialah Nuralyah Salleh Hussein, pelajar autisme ringan dari SMK Mutiara, yang muncul sebagai calon terbaik dalam kategori CBPK dengan memperoleh 8A dan 1C.

Secara keseluruhan, seramai 1,146 calon sekolah di Labuan mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM tahun ini.

GRACE AISYAH KEDAYAN