IPOH, 24 April- Kerajaan masih belum memuktamadkan sebarang keputusan berhubung cadangan pengurangan tempoh lantikan kontrak ke jawatan tetap bagi penjawat awam, daripada 15 tahun kepada 10 tahun.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, memaklumkan bahawa cadangan tersebut masih dalam peringkat penelitian oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan.
Kajian berkenaan memberi tumpuan kepada implikasi kewangan jangka panjang terhadap kerajaan sekiranya pelantikan tetap dilaksanakan lebih awal daripada tempoh sedia ada.
"Dalam usaha kalau nak bawa ke tetap pun kerajaan atau pihak JPA dan Kementerian Kewangan perlu melihat pelbagai sudut supaya ianya tidak membebankan kerajaan.
"Apabila ada pelantikan tetap tetapi perkara ini memang kita akan sentiasa meneliti perkara ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Bicara Bersama KPPA di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, yang dihadiri lebih 1,000 penjawat awam.
Terdahulu, Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan tempoh pelantikan tetap dikurangkan kepada 10 tahun, mengambil kira pengalaman yang telah dikumpul oleh pekerja kontrak dalam tempoh tersebut.
Dalam perkembangan lain berkenaan cadangan pelaksanaan sistem Hari Rehat Mingguan (HRM) untuk anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) masih belum diputuskan.
Wan Ahmad Dahlan menjelaskan bahawa cadangan tersebut masih dalam peringkat awal dan belum melalui proses kelulusan rasmi.
Semua cadangan agensi kerajaan perlu dikemukakan melalui kementerian berkaitan sebelum dipertimbangkan di peringkat pentadbiran pusat.
"Kita baru sahaja menerima cadangan tersebut, mungkin kerana pihak bomba melihatnya sebagai satu keperluan, mereka mengumumkan perkara itu lebih awal.
"Namun, ia masih dalam perbincangan dan akan diteliti bersama pihak bomba dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)," katanya.
Wan Ahmad Dahlan menegaskan bahawa sekiranya terdapat justifikasi kukuh dan keperluan wajar maka pelaksanaan HRM akan dipertimbangkan.
JPA juga menyatakan pihaknya sentiasa terbuka kepada cadangan yang mampu memperbaiki penyampaian perkhidmatan awam dan memberi manfaat kepada rakyat.
Terdahulu, Ketua Pengarah JBPM dalam satu surat pekeliling memaklumkan bahawa pelaksanaan HRM yang dijadualkan bermula 1 Mei ditangguhkan untuk memberi ruang kepada JPA bagi menyelaras dan menambah baik pelaksanaannya.