KOTA BHARU, 24 APRIL – Seramai 436 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di Kelantan berjaya meraih semua A dalam mata pelajaran yang diambil, dengan lapan calon memperoleh semua A+.
Timbalan Pengarah Pendidikan negeri Kelantan, Mat Lazim Mohammad, berkata pencapaian itu mewakili 2.13 peratus daripada keseluruhan calon sekolah kerajaan.
Menurut beliau, kejayaan turut terselah dalam kalangan komuniti Orang Asli di Kelantan apabila seramai 124 daripada 161 calon layak menerima sijil SPM 2024.
"Lebih membanggakan, seorang calon Orang Asli, Nur Syafienaz Nazri dari SMK Panggung Jaya, berjaya mencatat keputusan cemerlang dengan 3A+, 4A, dan 1A-.
“Jumlah ini mewakili 2.13 peratus keseluruhan calon sekolah kerajaan tahun ini, meningkat 0.11 peratus berbanding 2.02 peratus pada 2023,” katanya dalam sidang media pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini.
Tahun ini, seramai 26,986 calon mendaftar menduduki SPM di Kelantan, manakala 26,507 calon hadir sepenuhnya.
Daripada jumlah itu, 19,111 calon atau 95.99 peratus layak menerima sijil.
Sebanyak 106 sekolah mengatasi peratus kelulusan negeri (95.99 peratus), ini termasuk 50 sekolah yang mencatat kelulusan 100 peratus, merangkumi 21 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).
Sekolah Menengah Sains Machang mencatat Gred Purata Sekolah (GPS) terbaik dengan 1.65, manakala 49 sekolah lain turut merekodkan GPS melebihi Gred Purata Negeri (GPN).
Kelantan mencatat GPN 4.62 bagi SPM 2024, berbanding 4.72 pada 2023, menunjukkan peningkatan 0.1 mata.