SUNGAI PETANI, 25 Mac - Seorang pelajar perempuan maut apabila motosikal yang ditunggangi terlibat kemalangan dengan dua buah kereta di Simpang Tiga Kampung Padang Buluh, Sidam Kiri, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Zaidy Che Hassan berkata mangsa berusia 19 tahun meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.
Katanya, dalam kejadian pada 2.50 petang itu mangsa yang menunggang motosikal jenis sedang bergerak dari arah Sungai Petani menghala ke Kulim.
"Siasatan awal ditempat kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 57 tahun tidak nampak dan sempat mengelak motosikal tersebut.
"Lelaki terbabit yang ingin membelok masuk ke simpang sebelah kanan lalu melanggar motosikal mangsa dari bahagian belakang," katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Menurutnya, akibat pelanggaran itu mangsa yang tinggal di Kampung Padang Buluh, Sidam Kiri tercampak ke kiri jalan sebelum dilanggar kereta Toyota Vios yang berada di lorong yang sama.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.