fb fb fb fb fb

Malaysia sedia jalin kerjasama perdagangan dengan Kanada - MITI

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 25 Mac- Kanada dipelawa untuk mempertimbang Malaysia sebagai rakan perdagangan dan pelaburan di rantau ini menerusi pelbagai faktor yang menarik.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata faktor tersebut termasuk dasar Malaysia yang jelas, pelaksanaan yang efisien dan manfaat daripada pelbagai perjanjian perkongsian dan kerjasama yang melibatkan kedua-dua negara.

Dasar yang jelas bukan sahaja bagi pembangunan perindustrian tetapi juga reformasi perindustrian yang akan memacu eksport Malaysia masa hadapan.

"Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, yang menerima pakai pendekatan berasaskan misi. Secara ringkasnya, kami bercita-cita tinggi bahawa perindustrian semula berskala besar akan dilakukan berdasarkan empat misi."

"Ini termasuk memajukan ekonomi, membina negara yang tinggi digital, karbon sifar dan akhirnya melindungi keselamatan ekonomi dan keterangkuman," kata Tengku Datuk Seri Zafrul dalam ucapannya selepas mengadakan pertemuan bersama Kumpulan Misi Perdagangan Kanada yang diketuai rakan sejawatnya, Mary Ng.

Malaysia juga secara amnya akan mengambil masa 18 ke 24 bulan daripada kelulusan, dalam melaksanakan projek pembuatan.

Beliau menambah, melalui pelbagai perjanjian perkongsian dan kerjasama menggalakkan lagi pertumbuhan bidang lain kedua-dua negara termasuk perniagaan, kewangan, pendidikan dan perkhidmatan pembinaan.

Dalam majlis berkenaan, kira-kira 200 orang wakil dari Kanada yang terdiri daripada pelbagai sektor, hadir bagi memperluas jalinan kerjasama di Malaysia.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM