KUALA LUMPUR, 25 Mac- Orang ramai dinasihat untuk lebih berwaspada ketika bermulanya fasa peralihan monsun menjelang 29 Mac hingga Mei depan.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa peralihan tersebut menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut (MTL) yang melanda negara di beberapa tempat sejak 11 November lalu.
Selain itu, keadaan cuaca panas dan kering dijangka beransur pulih menjelang pertengahan April.
"Sehubungan itu, orang ramai diharap untuk sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MET Malaysia melalui laman web rasmi jabatan terbabit," kata kenyataan itu.
Fasa peralihan monsun telah menjejaskan beberapa kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta selatan dan tengah Sarawak menerima tiupan angin lemah, ribut petir serta hujan lebat dalam jangka masa yang singkat terutamanya waktu petang dan malam.
Situasi itu juga turut berpotensi mengakibatkan banjir kilat, pokok tumbang dan kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.