fb fb fb fb fb

Jualan kuih raya, PENJARA sasar RM2.2 juta

Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional), Datuk Abdul Aziz Abdul Razak

PUTRAJAYA, 25 Mac- Jabatan Penjara Malaysia menyasarkan sebanyak RM2.2 juta jumlah jualan produk kuih raya yang dihasilkan oleh penghuni penjara di seluruh negara tahun ini.

Menurut Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional), Datuk Abdul Aziz Abdul Razak, sasaran tersebut mampu dicapai dengan pelbagai kaedah pasaran jualan termasuk melalui platform penjualan dalam talian.

"Kita akan pelbagaikan daripada segi pasaran. Contohnya seperti hari ini dan kita juga melibatkan pelbagai agensi tertentu untuk membantu dan kita memberi peluang kepada mereka untuk membuat pesanan."

"Kita yakin jumlah ini akan dapat dicapai sebab sambutan pada hari ini sahaja amat memberangsangkan. Saya pun teruja dengan sambutan daripada pihak Istana Kehakiman dan kakitangan kerajaan di sekitar Putrajaya ini, membantu jualan kita pada hari ini," kata Datuk Abdul Aziz kepada pemberita dalam sidang media selepas perasmian Hari Bersama Jabatan Penjara Malaysia, di sini.

Terdahulu, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat telah merasmikan program tersebut yang mula berlangsung hari ini sehingga Rabu.

Program tersebut julung kalinya diadakan di Istana Kehakiman dengan kerjasama Kelab Sukan dan Kebajikan Mahkamah Putrajaya.

Pelbagai aktiviti turut dianjurkan sepanjang program berlangsung termasuklah jualan produk daripada penghuni penjara seperti kuih raya, kain, pakaian dan juga produk kraf.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM