fb fb fb fb fb

Insentif kewangan mekanisme sementara kepada pengilang gula

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 25 Mac - Pemberian insentif kewangan berjumlah RM42 juta kepada pengilang gula merupakan mekanisme langkah sementara dibuat kerajaan, kata Fuziah Salleh.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, tujuan insentif itu adalah untuk memastikan bekalan barangan keperluan disalurkan secara berterusan sementara mekanisme terbaik akan dimuktamadkan berhubung harga dan pengeluaran gula.

"Kami paling bimbang bukan penggunaan domestik tetapi keperluan industri kecil atau mikro seperti yang menjual kuih bahulu, air balang, apam balik, akok dan sebagainya.

"Pengusaha ini banyak menggunakan gula. Kalau untuk penggunaan rumah domestik, kira-kira 2 kilogram (kg)setiap isi rumah. Jadi, jika harga gula tidak dikawal, akan ada kesan kepada inflasi dan juga rantaian lain seperti harga makanan, air dan sebagainya," katanya menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong di Dewan Rakyat hari ini.

Dilaporkan insentif gula pasir kasar dan gula pasir halus masih berterusan sehingga kerajaan membuat semakan semula mekanisme kenaikan harga yang dijangka berlaku separuh kedua 2024.

Untuk rekod harga runcit gula di Malaysia ketika ini bukan saja antara yang terendah di ASEAN tetapi juga di peringkat global pada RM2.85 sekilogram.

Harga itu jauh lebih rendah berbanding negara jiran yang lain seperti Indonesia (RM5.74), Filipina (RM8.53), Singapura (RM7.34) dan Thailand (RM3.91).

Sementara itu, harga bahan mentah ketika ini bergantung kepada faktor seperti perubahan iklim.

Selain faktor geopolitik seperti peperangan atau dasar negara pengeluar seperti India yang menyekat eksport bawang dan beras.

GRACE AISYAH KEDAYAN