fb fb fb fb fb

Pelajar IPT sambut baik inisiatif khas kerajaan ringankan beban belia

Foto hiasan/ Universiti Teknologi Mara Cawangan Selangor

KUALA LUMPUR, 24 Julai – Pengumuman khas oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menerima reaksi positif dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang menyifatkannya sebagai langkah praktikal dalam menangani beban kewangan golongan muda, khususnya mahasiswa.

Inisiatif yang diumumkan itu merangkumi pemberian bantuan tunai sebanyak RM100 kepada individu berumur 18 tahun ke atas, penurunan harga bahan api RON95 kepada RM1.99 seliter serta penangguhan kenaikan kadar tol di lebuh raya utama.

Ira Shazira Mohd Zambri, pelajar Fakulti Filem, Teater & Animasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), menyatakan bahawa bantuan tersebut amat relevan dengan cabaran semasa yang dihadapi generasi muda.

“Ini merupakan satu alternatif dan inisiatif yang amat baik, terutamanya untuk golongan belia dan mahasiswa generasi sekarang. Ia dapat mengurangkan beban kewangan, bukan sahaja kepada kami sebagai pelajar, tetapi juga kepada keluarga dan masyarakat secara keseluruhan,” katanya.

Tambah beliau, inisiatif ini mampu mengurangkan tekanan kos sara hidup dan memberikan sedikit kelegaan dalam situasi ekonomi yang tidak menentu.

“Saya lihat ia sangat membantu dan merupakan langkah yang sangat pragmatik untuk memperkukuh kestabilan ekonomi rakyat,” ujarnya lagi.

Pandangan sama turut dikongsi oleh Mohd Amir Hakim Hassan, pelajar Fakulti Perfilman UiTM, berkata bahawa bantuan tunai RM100 serta penurunan harga minyak memberi impak besar kepada kehidupan harian pelajar.

“Sebagai pelajar, saya bersyukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberikan bantuan RM100 kepada remaja berumur 18 tahun ke atas. Ini sangat membantu, terutama untuk pelajar yang perlu menggunakan kenderaan ke kelas setiap hari dan menanggung kos sara hidup asas,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa langkah menangguhkan kenaikan tol juga memberi kesan positif terhadap pengurangan perbelanjaan harian pelajar dan keluarga.

“Bantuan ini bukan sahaja meringankan beban kami sebagai pelajar, malah membantu keluarga kami yang turut menanggung kos pembelajaran,” tambahnya.

Sementara itu, Mohd Syamer Abdul Halim, seorang lagi pelajar UiTM, menyifatkan inisiatif kerajaan sebagai usaha murni dalam menyantuni keperluan generasi muda.

“Saya menyambut baik sebagai mahasiswa dan wakil pelajar yang berumur 18 tahun ke atas. Saya rasa bersyukur kerana adanya bantuan sebegini. Walaupun ada kekurangan, tapi manfaat itu tetap dirasai. Ini adalah satu insentif yang baik untuk kami sebagai pelajar,” ujarnya.

Secara keseluruhannya, pengumuman khas kerajaan itu disifatkan sebagai bukti keprihatinan pentadbiran MADANI terhadap keperluan masyarakat, khususnya golongan belia dan mahasiswa yang menjadi tonggak masa depan negara.

ROSLINA BINTI DIN