fb fb fb fb fb

Pelajar diseru manfaatkan ilmu, terlibat dalam kesukarelawan - Saifuddin

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail / Foto UPM

SERDANG, 15 Oktober – Universiti merupakan medan penting untuk mengasah kemahiran, membina keyakinan diri dan menimba ilmu demi memberi sumbangan besar kepada agama, bangsa dan negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata universiti juga merupakan tempat terbaik untuk membentuk kecemerlangan dalam aspek akal, jasad, dan roh.

“Ini adalah keperluan penting bagi pelajar kerana anda adalah tunggak kepimpinan masa depan. UPM adalah kampus yang sangat istimewa untuk anda mengembangkan potensi diri sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pelajar baharu Universiti Putra Malaysia (UPM) di Majlis Bersama Pemimpin Negara, di sini pada Isnin.

Saifuddin, yang juga alumni UPM kelas 1987 turut menekankan agar pelajar tidak mudah berputus asa dan menyelesaikan pengajian demi masa depan yang cerah.

“Anda bukan sahaja harapan ibu bapa, malah masyarakat dan negara juga menaruh harapan kepada anda. Melanjutkan pengajian bermakna kita sedang memenuhi keperluan tenaga kerja negara dalam bidang masing-masing, jadi jangan sia-siakan peluang ini,” tambahnya.

Dalam majlis itu, Saifuddin turut melancarkan Program I’m Volunteer, satu inisiatif Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mendorong pelajar UPM terlibat dalam kesukarelawan dan menyumbang kembali kepada masyarakat.

Sementara itu, pelajar Bacelor Sains Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Muhammad Ainul Firdaus Zailani berkata program tersebut memberi kesedaran tentang keperluan memahami isu semasa.

“Sebagai pelajar baharu, saya melihat hidup di universiti bukan hanya untuk belajar, tetapi juga untuk peka dengan situasi semasa negara bagi memahami realiti hidup masa kini,” katanya.

Pelajar program Doktor Perubatan, FPSK, Anis Fatihah Azreen Syazril pula berkata, program tersebut mendorong beliau untuk lebih terlibat dalam pengetahuan am tentang negara kerana ia penting untuk generasi muda.

“Sebelum ini, saya tidak nampak keperluan untuk memahami isu semasa negara, namun selepas mengikuti program ini, saya sedar ia penting kerana kami adalah bakal pemimpin di masa depan,” katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN